GEORGETOWN - Tiga lelaki warga asing maut ditembak sepasukan polis ketika bersembunyi di dalam belukar di Tanjung Bungah, di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 30 an itu ditembak selepas menyerang polis menggunakan parang.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dalam kejadian jam 4.20 pagi tadi, polis menerima maklumat dari seorang wanita berkenaan tiga lelaki yang berkelakuan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Tambahnya, ketika anggota polis memperkenalkan diri, ketiga-tiga suspek melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.
"Ketika tiba di satu kawasan gelap, semua suspek bertindak menyerang polis dengan menggunakan parang. Polis kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dari diserang.
"Kesemua suspek tiada pengenalan diri dan dipercayai warga asing. Mereka ini merupakan geng pecah rumah dan samun. Tiga bilah parang dirampas," katanya ketika dihubungi tadi.
Menurutnya, tiada anggota polis yang cedera dalam kejadian tersebut.