Bekas wartawan, pentadbir sukan meninggal dunia

Iklan
Satwant Singh

BEKAS wartawan dan pentadbir sukan Satwant Singh Dhaliwal, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung, di Tampin, Negeri Sembilan pagi Jumaat.

Abangnya, Jusvir Singh ketika dihubungi berkata, bekas wartawan akhbar Malay Mail itu pengsan ketika bersarapan di sebuah kedai makan sekitar rumahnya, sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor setibanya di Hospital Tampin.

Iklan
Iklan

"Doktor sahkan beliau meninggal dunia akibat serangan jantung, mendiang memang sebelum ini sering ke pusat dialisis untuk menjalani rawatan kerana penyakit buah pinggang dan kencing manis.

"Sebelum ini, memang mendiang pernah terlantar akibat sakit, tetapi sudah pulih dan mampu untuk menjalankan rutin harian seperti biasa. Tetapi semenjak kematian ayah kami pada Jun, adik saya memang agak murung dan dia nampak sakit semula," katanya.

Iklan

Jusvir berkata, mendiang yang juga pernah berkhidmat di Unit Latihan Atlet, Bahagian Persediaan Antarabangsa Majlis Sukan Negara (MSN) akan disemadikan di Jasin Eternal Memorial Park, Melaka pada 2 petang, Sabtu selepas upacara sembahyang pada 11 pagi.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyampaikan ucapan takziah dan menyifatkan mendiang sebagai seorang wartawan yang berdedikasi dan cukup sinonim dalam arena sukan tanah air.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian mendiang yang pernah menyumbang bakti di MSN pada penghujung 1990-an.

"Mendiang bukan sahaja antara wartawan berpengalaman yang banyak menulis mengenai pembangunan sukan negara, malah tidak gentar untuk memberikan pandangan dan ulasan secara kritikal yang mendorong semua pihak untuk sentiasa meningkatkan usaha demi membangunkan sukan negara," katanya.

Mendiang merupakan antara penulis sukan yang vokal, selain pernah berkhidmat dalam bidang perhubungan awam sukan termasuk bagi kejohanan hoki Piala Sultan Johor dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM). - Bernama