UMP, TDA meterai MoU di dasar laut Pulau Tioman

Iklan
Yuserrie (kanan) dan Idros menyempurnakan majlis menandatangani MoU antara UMP dan TDA di dasar laut Pulau Tioman pada Isnin.

TIOMAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di dasar laut Pulau Tioman di sini pada Isnin lalu.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin bagi pihak UMP manakala TDA diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Idros Yahya dan Pengurus Khidmat Pengurusan, Nor Zaihan Othman.

Iklan
Iklan

Yuserrie berkata, kerjasama itu bakal memberi manfaat kepada kedua belah pihak dalam usaha membangunkan organisasi terutama hal-hal berkaitan penyelidikan, pembangunan dan program bersama komuniti di Tioman.

Menurutnya, kerjasama itu juga melibatkan aktiviti akademik seperti peluang latihan industri bagi pelajar di pusat-pusat selaman atau agensi di bawah TDA.

Iklan

"Selain itu, UMP turut bertanggungjawab untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran terutama dalam pembangunan dan penyelidikan bersama komuniti di Tioman.

"Kita akan menerapkan pemahaman dan meneruskan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menjadi intipati pembangunan di UMP untuk dibawa ke sana (Tioman)," katanya.

Iklan

Yuserrie berkata, sehingga kini, lebih 200 MoU telah dijalinkan dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara, namun kali ini sangat unik kerana ia ditandatangani di dasar laut.

Sementara itu, Idros berkata, menerusi kerjasama itu, TDA menawarkan tempat untuk bersama-sama UMP dalam memperkasakan bidang pembangunan dan teknologi.

Majlis menandatangani MoU antara UMP dan TDA di Pulau Tioman pada Isnin.

Menurutnya, terdapat 22 pulau di Tioman yang perlu dijaga sebagai produk pelancongan dan banyak perkara boleh dikaji serta diselidiki untuk pembangunannya.

"Justeru, melalui kerjasama ini TDA mengharapkan kepakaran UMP dalam membantu membangunkan selain menjadikan Pulau Tioman sebagai lokasi aktiviti latihan atau kokurikulum pelajar.

"Pihak kami amat mengalu-alukan sekiranya UMP dapat menjadikan Pulau Tioman sebagai destinasi program mobiliti pelajar dalam dan luar negara yang akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak," katanya.

Bagi Pengarah Program, Dr Siti Rabiatul Aisha Idris, selain menyantuni komuniti, pihaknya turut meninjau lokasi penempatan tukun tiruan di dasar laut.

Beliau berkata, ia bagi mengenal pasti lokasi strategik untuk merancang dan mengadakan aktiviti bagi menarik pelancong ke Tioman.

"UMP mempunyai pusat selaman di Akademi Adab UMP Kampus Pekan yang boleh digunakan untuk latihan selaman, aktiviti menyelamat di dalam dan permukaan air," katanya.