UMNO Pulau Pinang rayu MN diperkukuh kembali

Iklan
Musa (tiga dari kanan) ketika melancarkan jentera pilihan raya Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang pada Jumaat.

GEORGETOWN - UMNO Pulau Pinang masih mengharapkan kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, walaupun pucuk pimpinan kedua-dua parti memilih untuk membawa haluan sendiri, namun di peringkat negeri, UMNO Pulau Pinang masih mengharapkan ada solusi terbaik untuk mengembalikan kerjasama MN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di Pulau Pinang, UMNO dan Pas mempunyai hubungan yang sangat rapat malah saling menyokong antara satu sama lain dalam setiap program yang diadakan sebelum ini.

"Malah sehingga sekarang UMNO dan Pas di sini masih berbincang mengenai kerjasama MN di peringkat negeri.

Iklan

"Jadi kita harap pucak pimpinan UMNO dan Pas boleh pertimbang semula keputusan mereka. Kalau boleh selesai masalah ini dengan keputusan positif," katanya ketika ditemui selepas melancarkan jentera pilihan raya Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Kimma Pulau Pinang, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.

Iklan

Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang berkata, pihaknya sebolehnya mahu mengelak pertembungan dengan calon Pas pada PRU15 setelah melihat implikasi yang berlaku pada PRU14 lalu.

Bagaimanapun jelasnya, UMNO Pulau Pinang akan akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan termasuk terpaksa berdepan situasi pertandingan tiga penjuru.

"Jika terpaksa menentang calon Pas juga, kita akur dan menganggap ia seperti pertandingan antara sahabat dan akan mengelak kempen yang mengutuk atau membenci antara satu sama lain.

"Bagaimanapun, jika berdepan dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kita akan lawan memandangkan majoriti akar umbi UMNO menolak parti tersebut," katanya.

Pada Khamis, Pas dilaporkan memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu menghadapi PRU15.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Keputusan itu sekali gus menunjukkan Pas menolak UMNO dan BN untuk menjalinkan kerjasama pada PRU15.