GEORGETOWN - Gabungan muka baharu dan calon berpengalaman menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya sudah menyerahkan nama kesemua calon kepada pucuk pimpinan parti sama ada bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, senarai calon terdiri daripada gabungan 60 peratus muka baharu dan 40 peratus calon berpengalaman itu sedang dalam tapisan dan menunggu kelulusan pucuk pimpinan parti sebelum diumumkan.
"Mereka dipilih atas beberapa faktor antaranya kita menilai dari segi pengalaman, penerimaan masyarakat, kerjaya dan yang paling penting dia mestilah bersih.
"Insya-ALLAH kita akan bawa generasi muda seperti yang kita janjikan sebelum ini dan kita betul-betul beri peluang kepada orang muda untuk ditonjolkan pada PRU kali ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan jentera pilihan raya Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pulau Pinang bagi PRU15 pada Jumaat
Mengenai pembahagian kerusi di Pulau Pinang, Musa berkata, sekiranya pembubaran DUN dilakukan, BN akan bertanding dengan mengekalkan formula lama iaitu UMNO akan bertanding 15 kerusi, MCA 10 kerusi dan MIC pula dua kerusi.
Jelasnya, 13 kerusi yang ditandingi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang kini bersama Perikatan Nasional (PN) pula akan dibahagikan sesama parti komponen oleh pucuk pimpinan BN.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya pembubaran DUN tidak berlaku maka BN akan memberi fokus bertanding 13 kerusi Parlimen.
"UMNO akan bertanding di lima kerusi Parlimen, MCA empat manakala empat kerusi yang ditandingi Gerakan sebelum ini akan dibahagikan sesama mereka oleh pimpinan BN," katanya.
Sementara itu, Musa yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang berkata, pihaknya telah bersedia untuk menghadapi PRU15 termasuk merampas semula kerajaan negeri daripada DAP.
Malah beliau optimis UMNO akan menang lebih daripada dua kerusi DUN pada PRU kali ini selepas hanya memenangi dua kerusi DUN iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua pada PRU14.