PASIR GUDANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Norden menyerahkan kepada keputusan pucuk pimpinan bagi membuat keputusan berhubung pencalonannya untuk bertanding di Parlimen Pasir Gudang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mohamed Khalid yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang turut mengesahkan bahawa namanya turut dicalonkan kepada pihak pucuk pimpinan bersama-sama lima hingga tujuh nama lain daripada setiap UMNO Bahagian di negeri ini.
"Saya mengesahkan bahawa nama saya dan beberapa nama lain sudah dicalonkan untuk bertanding pada PRU15 kelak. Setiap bahagian kemukakan lima hingga tujuh nama. Tapi sehingga kini belum ada keputusan lagi.
"Bagaimanapun, saya mengesahkan UMNO Bahagian Pasir Gudang telah mencalonkan nama saya termasuk beberapa nama lain," katanya katanya pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2022, di Dewan Serbaguna Mawar, di sini pada Sabtu.
Untuk rekod, mesyuarat perwakilan berkenaan merupakan mesyuarat kali kedua yang diadakan tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.
Sementara itu, Mohamed Khaled tidak menolak kemungkinan untuk dirinya dicalonkan untuk bertanding di kawasan lain pada PRU15 kelak.
Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan adakah terserah kepada keputusan pihak pucuk pimpinan parti.
Calon aktif guna media sosial ada kelebihan
Mohamed Khalid berkata, calon-calon yang memiliki serta menggunakan medium media sosial pada dilihat memiliki kelebihan untuk mengharungi PRU15 kelak.
"Oleh kerana penduduk kita ramai, agak mustahil untuk kita jumpa semua. Jadi, kita kena ada medium dan salah satu adalah media sosial inilah...tetapi terpulanglah untuk kita nak sampaikan apa-apa, pandail-pandailah kita gunakan 'kelebihan' itu.
"Sekali gus, memberikan peluang lebih ramai (orang) untuk mengenali, mengetahui dan menyedari (kehadiran calon); kalau dulu nak tahu apa berlaku di Kuala Lumpur, kita baca suratkhabar, serang saingan bagi surat khabar, media sosial inilah.
"Sebab itu saya kata, siapa yang gunakan media sosial ini ada kelebihan pada PRU15 kelak. Lagi pun kalau guna akhbar, tak ambil (idea) kita orang biasa ni, jadi media sosial ni kita sendiri karang, kita sendiri jadi wartawan, ketua pengarang dan editor," katanya.
Sementara itu Mohamed Khalid berharap kesemua pihak termasuk di akar umbi bekerja keras bagi memastikan kemenangan UMNO pada PRU15 kelak.
Katanya, biarpun mesyuarat kali ini dianjurkan dalam ketika parlimen sudah dibubarkan, semua pihak perlu sentiasa bekerja keras bagi menghadapi PRU15.
"Kerja keras ini turut melibatkan dari akar umbi peluru bekerja keras demi memastikan kemenangan calon UMNO bagi mewakili BN pada PRU15 nanti," katanya.