Jurujual dituduh cuba pecah rumah buat laporan polis

Iklan
Lelaki ini membuat laporan polis setelah gambarnya ditularkan di media sosial dan dikaitkan dakwaan cuba pecah masuk dan merompak di sebuah rumah pada Khamis.

KLANG - Seorang lelaki membuat laporan polis setelah gambarnya tular di media sosial yang didakwa cuba untuk memecah masuk dan merompak di sebuah rumah pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan itu dibuat individu berkenaan pada Jumaat kira-kira jam 8.42 pagi.

Iklan
Iklan

"Lelaki yang bekerja sebagai jurujual barangan alat ganti kepala gas menyatakan bahawa pada Khamis kira-kira jam 6 petang, dia mendapati gambar dirinya telah ditularkan di dalam Facebook oleh seorang pemilik akaun yang mendakwanya mahu memecah masuk ke dalam rumah dan cubaan untuk merompak.

"Gambar dan kenyataan tersebut juga telah ditularkan di dalam grup WhatsApp penduduk kawasan Jalan Kebun dan Sungai Udang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, siasatan awal mendapati individu berkenaan telah pergi ke sebuah rumah di kawasan Sungai Udang, Klang dan menawarkan alat ganti kepala gas kepada seorang perempuan warga tempatan kira-kira jam 2 petang pada Khamis.

"Individu berkenaan kemudian membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan tersebut," katanya.

Iklan

Menurutnya, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan.

"Kertas siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis dan kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar yang segera," katanya.

Tegas Hoong Fong, pihaknya memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan atau menganiayai individu lain," katanya.