Slot kedua Piala AFC akan diketahui selepas Piala Malaysia

Iklan

SLOT ke Piala AFC musim depan akan diberikan kepada pasukan yang berada di kedudukan ketiga liga sekiranya juara Piala Malaysia merupakan juara atau naib juara Liga Super 2022.

Perkembangan itu diumumkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan sambil menjelaskan terdapat tiga pilihan yang akan digunakan bagi memilih pasukan yang akan beraksi di kejohanan Piala AFC.

Iklan
Iklan

"Seperti yang telah dimaklumkan sebelum musim 2022 bermula kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia pada 14 Januari 2022 berhubung slot Liga Juara Juara Asia (ACL) dan Piala AFC tahun 2023 adalah seperti berikut yang mana johan Liga Super akan bertanding di ACL manakala juara Piala FA dan pasukan berada di kedudukan kedua Liga Super akan beraksi di saingan Piala AFC.

"Sekiranya johan Liga Super dan juara Piala FA 2022 adalah kelab yang sama, maka juara Piala Malaysia dan pasukan berada di kedudukan kedua Liga Super akan beraksi di saingan Piala AFC.

Iklan

"Jika sekiranya johan Liga Super, juara Piala FA dan juara Piala Malaysia 2022 adalah kelab yang sama atau Piala Malaysia 2022 dimenangi pasukan naib juara Liga Super, maka pasukan yang berada di kedudukan kedua dan ketiga Liga Super bakal beraksi di Piala AFC.

"Oleh itu, pasukan yang akan memperoleh slot kedua ke Piala AFC 2023 hanya boleh ditentukan selepas berakhirnya TM Piala Malaysia 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Dalam kenyataan yang sama, MFL turut memberitahu slot ke kejohanan AFC hanya diberikan kepada kelab yang memperoleh Lesen Kelab AFC untuk musim 2023.

"MFL berharap tiada kekeliruan timbul berhubung penentuan slot-slot AFC tahun 2023 memandangkan pemakluman menerusi surat pekeliling sudah dihantar kepada semua pasukan yang bertanding sebelum musim 2022 bermula.

"Malah penerangan mengenai penentuan slot ACL dan Piala AFC 2023 juga turut dibuat menerusi Taklimat Pegawai Operasi Kelab pada 20 Januari 2022 dan Taklimat Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 28 Februari 2022,” ujar MFL.