SUNGAI BESAR - Pakatan Harapan (PH) Selangor memberikan tumpuan kepada kawasan luar bandar bagi memastikan calon mewakili parti itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kawasan Parlimen seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam harus diberi tumpuan dan diperkuatkan dari segi gerak jentera parti.
Ujarnya, sekiranya jentera PH bersedia dan bersemangat, beliau percaya kawasan luar bandar juga mampu dimenangi calon PH.
"Saya harap mereka akan terus bekerja dan mempunyai momentum berterusan untuk kita capai kemenangan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera PH Parlimen Sabak Bernam dan Sungai Besar di Dewan Seri Bernam di sini, pada Sabtu.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor memberitahu, PH di negeri itu juga sudah mencapai persefahaman berhubung calon di kerusi Parlimen.
"Kita sudah selesaikan pembahagian kerusi Parlimen sejak dari awal lagi, namun ada satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan," ujarnya.
Jelas beliau, pembahagian kerusi DUN dijangka dapat diselesaikan berikutan PRU15 tidak diadakan serentak dengan Persekutuan.
"Kerusi DUN ini kita mempunyai masa sehingga tahun depan untuk berbincang dan seterusnya mencapai persetujuan dengan rakan komponen PH lain," jelas beliau.
Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata, PH buat pertama kalinya akan meletakkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU15.
Kata beliau, kerusi Parlimen Sabak Bernam pula diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah).
"Walaupun Amanah bertanding di Parlimen Sabak Bernam, kita meminta supaya ahli parti PKR dan DAP memberi sokongan sebagai satu pasukan atas nama PH dan begitulah sebaliknya," kata beliau.