SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan kembali bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada permintaan khususnya daripada pimpinan wanita untuk melihat bekas Ahli Parlimen Pandan itu kembali bertanding.
Bagaimanapun katanya, segala cadangan dan permintaan akan diperhalusi.
"Saya sendiri pun belum tahu, bertanding atau tidak dan di mana," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, PH juga akan mengusahakan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada calon gabungan itu daripada kalangan wanita.
Jelasnya, jika ia berjaya dicapai, itu akan menjadi permulaan yang sangat meyakinkan bagi PH.
Sementara itu, Anwar masih mengunci mulut tentang kerusi yang akan ditandinginya.
"Pening juga. Negeri Sembilan minta, Johor minta, Perak minta. Pulau Pinang sahaja tidak minta saya balik bertanding," katanya.