KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berusaha menangani masalah kekurangan bekalan telur ayam yang berlaku sejak akhir-akhir ini dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan maklum balas diterima dari MAFI, pemain industri memberi alasan kawalan harga telur ayam terlalu lama dilaksanakan kerajaan menjadi salah satu punca pengeluaran bahan mentah itu terjejas.
Menurutnya, pemain industri mendakwa kawalan harga bermula 5 Februari lalu berbanding sebelum ini hanya sekitar dua minggu pada musim perayaan memberi tekanan kepada kos pengeluaran ditanggung mereka
"KPDNHEP juga sudah memaklumkan kepada MAFI tentang keluhan pengeluar telur ayam yang mendakwa lewat menerima pembayaran subsidi untuk diatasi segera sekiranya ia benar berlaku," katanya selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat negeri Terengganu, di sini pada Sabtu.
Jelas Rosol, setakat ini masalah kekurangan bekalan telur ayam dilaporkan berlaku di seluruh negara dan keadaan itu menjejaskan pengguna terutama pengusaha makanan.
"Apa yang dibimbangkan adalah jika masalah gangguan bekalan telur ini berlarutan dalam masa agak panjang kerana tempoh pengeluaran telur ayam mengambil masa kira-kira dua bulan hingga enam bulan," katanya.
Sehubungan itu katanya, KPDNHEP bersama MAFl turut berbincang kemungkinan mengimport bekalan telur ayam untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan tempatan sebagai penyelesaian jangka pendek namun belum diputuskan lagi kerana kosnya tinggi.
"Bagaimanapun, sebelum ini kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah intervensi untuk memastikan pengeluaran telur tidak terjejas dan pengguna menikmati harga yang stabil menerusi pemberian subsidi telur ayam yang sudah ditingkatkan kepada lapan sen sebiji ketika ini," katanya.