Pas nafi ditawarkan 47 kerusi daripada Bersatu

Iklan
Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Pas menafikan wujudnya tawaran 47 kerusi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadi sebab Pas memilih bersama Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu 47 kerusi itu tidak disebut dalam perbincangan antara pemimpin UMNO dan Pas sewaktu pertemuan yang didedahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Tak betul, dia merapu. Dia (Asyraf) tak terlibat pun dalam mesyuarat tu.

"Hanya empat orang yang tahu apa perincian perbincangan. 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan.

Iklan

"Masalah utama bukan jumlah kerusi, kerana ia tiada perincian dalam perbincangan tersebut," katanya kepada Sinar Ahad.

Menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat, Asyraf berkongsi satu gambar pertemuan di antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti, UMNO dan Pas pada Rabu iaitu sehari sebelum Pas itu akhirnya membuat keputusan kekal bersama PN.

Iklan
Gambar pertemuan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO serta Pas pada Jumaat.

Gambar itu memaparkan pertemuan lapan mata antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim.

Asyraf mendakwa Pas menegaskan jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada parti itu.