Polis siasat kes penyokong bola sepak bergaduh

Iklan
Tangkap layar pergaduhan antara penyokong dua pasukan bola sepak di Hulu Terengganu pada Sabtu.

HULU TERENGGANU - Polis sedang menyiasat satu kejadian pergaduhan melibatkan hampir 30 penyokong dua pasukan bola sepak yang dilaporkan berlaku di Kuala Berang, di sini pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati satu perlawanan bola sepak peringkat suku akhir antara dua pasukan mewakili dua kampung telah berlangsung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perlawanan berkesudahan dengan pihak Kampung Matang FC telah menang dengan jaringan 1-0.

"Selepas tamat perlawanan, berlaku provokasi antara kedua-dua belah penyokong dan kekecohan berlaku di luar kawasan padang.

Iklan

"Kedua-dua pihak telah melakukan provokasi melibatkan kira-kira 15 hingga 30 lelaki di kawasan premis sebuah kedai makan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Mohd Adli berkata, anggota polis peronda yang pergi ke tempat kejadian pada jam 6.55 petang telah berjaya mengawal keadaan dan meleraikan kekecohan berkenaan.

Iklan

Katanya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu namun berlaku beberapa kerosakan di pagar padang bola sepak manakala cermin dinding salah sebuah kedai makan turut pecah.

"Penganjur perlawanan dan kedua-dua pihak pengurusan pasukan bola sepak yang terlibat sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk membantu siasatan kejadian.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat memandangkan pihak berkaitan belum membuat laporan polis," katanya.