KEJAYAAN mara ke pentas Asia pada musim 2023 dihadiahkan khas buat penyokong Terengganu FC yang sentiasa berada teguh di belakang pasukan tersebut sebelum ini.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, pemain Sang Penyu telah memberikan aksi konsisten sejak sembilan perlawanan lalu tanpa tewas bagi membantu mereka muncul naib juara Liga Super 2022.
Menurutnya, aksi akhir liga menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-3 di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu telah melengkapkan musim gemilang TFC yang sebelum ini juga turut muncul naib juara Piala FA 2022.
"Merekodkan sembilan kemenangan berturut-turut bukan satu perkara yang mudah, saya bangga dengan prestasi pemain dan saya anggap kejayaan ini sebagai luar biasa," katanya ketika sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.
Nafuzi berkata, harapan tinggi peminat juga menjadi penyuntik semangat kepada pemain-pemainnya untuk memberikan aksi yang terbaik pada setiap perlawanan.
"Dalam tempoh tiga tahun, dua kali saya bawa pasukan ini ke pentas Piala AFC tapi yang pertama batal disebabkan oleh Covid-19.
"Bagi kejayaan ini kami gembira kerana dapat merealisasikan harapan penonton yang sudah menunggu sekian lama," katanya yang mengakui masih belum menerima tawaran daripada pengurusan TFC untuk terus mengendalikan pasukan itu musim depan.
Tambahnya, pemain tahu kesukaran untuk mengharungi musim 2022 dengan permulaan yang memberangsangkan, namun terus memberikan sokongan dan mengikut arahan yang telah diberikan olehnya.
"Saya belum dapat apa-apa tawaran dari pihak pengurusan setakat ini walaupun saya bawa pasukan ke final Piala FA dan muncul naib Juara Liga Super 2022, saya tidak tahu lagi sebab dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Akhir sekali rezeki kita serah pada ALLAH SWT sahaja," kata Nafuzi lagi.