Isu kesesakan laluan masuk Malaysia-Singapura jadi keutamaan

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong selepas sidang media sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Menyelesaikan kesesakan lalu lintas di pintu masuk Malaysia-Singapura di Tambak Johor dan Linkedua adalah keutamaan bagi Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, isu itu terus menjadi masalah besar bagi pengguna yang berulang-alik dari Malaysia dan Singapura.

Iklan
Iklan

"Pada masa ini, terdapat kira-kira 250,000 hingga 300,000 orang yang menyeberangi tambak ini pada setiap hari. Menyelesaikan kesesakan itu menjadi keutamaan bagi Malaysia,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di akhir Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Malaysia dan Singapura komited untuk menangani isu itu dan akan terus meneroka inisiatif baharu bagi menanganinya.

Iklan

"Ini termasuk menambah baik infrastruktur fizikal, menyemak semula dasar dan peraturan antara sempadan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Hsien Loong berkata, Dr Mahathir menarik perhatian bahawa Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) tidak akan menyelesaikan masalah bagi penunggang motosikal yang menyeberangi sempadan Singapura-Malaysia, justeru terdapat keperluan untuk memperluaskan kapasiti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di kedua-dua pihak.

Iklan

"Singapura merancang untuk terus memperluaskan CIQ kami dan perkara ini akan mengambil sedikit masa tetapi pada akhirnya, kami akan mengadakan perancangan yang signifikan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya. - Bernama