BERA - Ahli dan pemimpin UMNO perlu mengetepikan kepentingan diri sendiri bagi memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kena bekerja kuat untuk menangkan parti dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.
Menurutnya, kesepaduan dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO amat dituntut termasuk di Parlimen Bera.
"Tiada masalah kalau nak berangan sikit-sikit tetapi jangan bila tidak dapat bertanding ada pemimpin yang melakukan sabotaj hingga merugikan parti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di sini pada Ahad.
Ismail Sabri berkata, sekiranya dalam kalangan pemimpin parti yang kecewa melakukan sabotaj kepada parti dan calon bertanding, perbuatan itu disifatkan sebagai tidak menghormati ahli yang setia dan bekerja keras untuk parti selama ini.
"PRU kali ini berbeza, dahulu kita boleh jamin menang dan bentuk kerajaan, namun selepas PRU14 tiada lagi jaminan itu.
"Jangan ambil mudah sebaliknya kita kena kerja lebih kuat termasuk ahli dan pemimpin UMNO Bera kerana kerusi ini antara yang menjadi tumpuan.
"Tanggungjawab kita lebih besar kerana pembangkang ingin melihat kerusi ini kalah, justeru kena buktikan Bera mampu menang besar untuk membantu UMNO/BN ke Putrajaya," katanya.