KOTA BHARU - Kira-kira 7,000 ahli Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sedia membantu Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Pilihan Raya Gerakan negeri, Ong Khang Woon berkata, kesemua jentera mereka kini memberi fokus kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
"Kita mahu memastikan parti dalam PN menang semua 14 kerusi Parlimen (di Kelantan)," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.
Turut hadir adalah Pengerusi Gerakan Kelantan, Gan Awang dan Setiausaha Gerakan, Tan Eng Chung.
Menurut Khang Woon, Gerakan Kelantan tidak pernah berpeluang bertanding untuk merebut kerusi di mana-mana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini sebelum ini.
Jelasnya, Gerakan lebih bersikap terbuka dan realistik untuk melihat rakan-rakan dalam parti komponen menang pada PRU15.
Bagaimanapun katanya, mereka mungkin akan bertanding di peringkat DUN pada PRU15 namun bergantung kepada keputusan pemimpin tinggi.