KAPTEN Harimau Malaya, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak meluahkan keyakinan skuad Harimau Malaya mampu mengekang Vietnam pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 esok, sekalipun pasukan negara tewas di Hanoi pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Beliau memberi contoh kejayaan merangkul pingat emas Sukan Sea 2009 di Laos selepas menundukkan Vietnam 1-0 walaupun sebelum itu tewas 1-3 pada aksi peringkat kumpulan.
"Pentas final adalah satu perlawanan berbeza, suasananya sangat berbeza jika dibandingkan dalam saingan peringkat kumpulan.
"Pengalaman ini saya telah lalui sewaktu di Sukan SEA Laos. Kita tewas 1-3 di peringkat kumpulan tetapi menang bila jumpa mereka di final. Apa yang berlaku di peringkat kumpulan kita sudah belajar dan perbaiki...untuk final kali ini ia pasti lebih berbeza,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.
Pada aksi ketiga saingan Kumpulan A di Stadium Nasional My Dinh, Harimau Malaya tewas 0-2 di tangan skuad The Golden Dragons sekalipun anak buah Tan Cheng Hoe itu mendominasi permainan.
Pada masa sama Zaquan yang telah meledak empat gol sepanjang kempen ini berkata pasukan negara melakukan persediaan lebih rapi bagi menghadapi pertemuan esok untuk memastikan Malaysia mampu membolosi gawang Vietnam yang gagal ditembusi sebelum ini.
"Untuk final satu persediaan yang berlainan dilakukan pasukan kerana ini adalah saat yang ditunggu-tunggu setiap pemain... bukan sahaja senior seperti saya tetapi juga pemain yang lebih muda.
"Saya berharap keserasian dan keharmonian dalam pasukan ketika ini akan diteruskan ke dalam padang dan berharap ia memberi kejayaan kepada pasukan esok,” katanya.
Selepas aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, Malaysia akan berdepan Vietnam sekali lagi di Hanoi untuk aksi final kedua yang dijadualkan Sabtu ini. - Bernama