KUALA TERENGGANU - Masyarakat diingatkan untuk tidak terlalu obses terhadap cerita berunsur mistik yang disebarkan susulan kehilangan Mohamad Ashraf Hassan, 29 atau Acap.
Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mohd Fahmi Rosli berkata, kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail itu mengundang pelbagai teori dan spekulasi yang dikhuatiri memesongkan akidah dan kepercayaan.
"Perlu guna dalil dan sunnah untuk kita menyabitkan sesuatu dengan perkara ghaib.
"Tetapi, kalau ikut konteks perkembangan seperti contoh kes yang berlaku baru-baru ini, perkara itu boleh berlaku, namun ia masih belum dipastikan sama ada betul atau tidak ada kaitan dengan orang bunian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Forum Penyakit Cegahan Vaksin di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, teori dan spekulasi yang masih belum pasti tidak boleh diterima bulat-bulat selagi belum benar-benar sahih.
"Realiti masyarakat kita suka kepada perkara berunsur mistik. Tetapi, kita tidak menolak secara umum perkara ghaib, namun, harus disabitkan dengan dalil," katanya.
Kehilangan Mohamad Ashraf yang mengambil bahagian dalam Gopeng Ultra Trail sejauh 25 kilometer (km) sejak 23 mac lalu mengundang pelbagai teori.
Walaupun telah lebih dua minggu usaha mencari dilakukan, tiada sebarang petunjuk ditemui menyebabkan pelbagai spekulasi timbul mengaitkan kehilangan pemuda itu dengan alam bunian.