KUALA LUMPUR - Faktor usia bukan penghalang bagi bekas Pengurus Besar sebuah bank tempatan untuk menamatkan pengajian di peringkat tertinggi sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 80 tahun.
Yeop Ali Mohd Dobi telah memulakan pengajian di peringkat PhD sejak 10 tahun lalu pada usia 70 tahun dan beliau terus komited untuk menjayakan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Memetik laporan Astro Awani, hasrat Yeop Ali untuk melanjutkan pengajian PhD bagi memastikan masanya sentiasa terisi semasa usia emasnya dalam mempelajari perkara baharu.
"Ketika tempoh persaraan saya 15 tahun lalu, saya pernah diserang strok ringan (mild stroke) dan semasa itu saya nekad untuk melakukan sesuatu bagi untuk mengisi hari-hari persaraan saya.
"Selepas pulih, saya terus lanjut pengajian PhD pada usia 70 tahun. Pada usia 80 tahun saya berjaya menamatkannya," katanya.
Pada majlis Konvokesyen Asia E University (AeU) di ibu negara pada Sabtu, kajian Yeop Ali berkaitan perniagaan Pos Malaysia Bhd dan perkhidmatan pelanggan penghantaran Pos Laju turut dinobatkan sebagai Kajian Terbaik 2022.
Yeop Ali menambah, pengalaman 10 tahun yang begitu bermakna bagi menamatkan pengajian PhD itu, beliau sentiasa menghabiskan masanya di perpustakaan dan berdiskusi bersama rakan serta penyelia pengajian.
"Pada permulaan pengajian, seramai 200 rakan berjuang untuk tamatkan PhD, namun hanya 10 sahaja yang tamat. Ada rakan-rakan seusia saya tidak sempat tamatkan kerana uzur dan ada yang meninggal dunia," ujarnya.
Jelas beliau, minatnya terhadap ilmu dan pengajian akademik sejak muda lagi apabila turut memegang dua Ijazah Sarjana iaitu Sarjana Sains dan Perniagaan dan Sarjana Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan dari University of Strathclyde, United Kingdom.
Beliau yang berasal dari Pengkalan Pegoh, Ipoh itu berkata mengenang kembali keputusannya di peringkat sekolah tidaklah membanggakan.
"Namun ketika sudah bekerja, saya akui hanya pendidikan mampu untuk mengembangkan kerjaya.
"Ketika di bangku sekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAS) Alor Setar, saya hanya dapat Gred ketiga sahaja dan kemudian saya bekerja.
"Hasil pendapatan itu saya simpan dan gunakan untuk sambung pengajian di United Kingdom tanpa sebarang tajaan dan saraan daripada keluarga," jelasnya.
Tambah beliau, sebilangan besar pendapatannya ketika bekerja banyak digunakan untuk menimba ilmu dan melakukan kajian akademik.
Anak sulung kepada tujuh adik beradik itu turut mengakui usaha untuk tamatkan pengajian tidak akan terhasil tanpa sokongan daripada keluarga.
Ketika ini, beliau giat menjadi panel forum serta seminar bagi memberi inspirasi kepada golongan muda yang masih mempunyai keupayaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.
Yeop Ali juga kini aktif menjadi penyelidik akademik bersama penyelia pengajiannya Prof Oo Yu Hock selain berharap jika diberikan peluang untuk menjadi tenaga pengajar di mana-mana institusi pengajian tinggi.