KULAI – Polis telah menahan pemandu lori yang disyaki menukar lorong hingga menyebabkan berlakunya kemalangan ngeri melibatkan lima kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow mengesahkan penahanan pemandu lori berusia 37 tahun dari Shah Alam itu.
Menurutnya, polis turut memanggil kesemua individu terlibat untuk memberikan keterangan berhubung kemalangan membabitkan dua lori dan tiga kereta itu.
"Ya, pemandu lori telah ditahan polis. Dalam masa sama, kita turut memanggil kesemua individu yang terlibat bagi memberikan keterangan,” katanya pada Ahad.
Dalam kemalangan pada Sabtu, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala, selain turut terbakar.
Siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila pemandu lori dari arah Air Hitam ke Johor Bahru memandu di lorong kiri jalan telah dilanggar dari belakang oleh pemandu kereta jenis Proton Preve yang datang dari arah sama.
Pada masa sama, pemandu kereta jenis Proton Wira telah melanggar belakang Proton Preve dan pemandu sebuah lagi kereta (jenis tidak pasti) telah melanggar bahagian belakang Proton Wira.
Kemudian datang sebuah lagi lori melanggar Proton Wira dan kereta (jenis tidak pasti) hingga mengakibatkan kebakaran.
Kebakaran itu mengakibatkan penumpang Proton Wira dan pemandu sebuah lagi kereta mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu Proton Preve, Wira dan lori mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu sebuah lagi lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, menurut Beng Yeow, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai bagi tujuan bedah siasat manakala kenderaan terlibat dibawa ke Puspakom Senai untuk pemeriksaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.