ALOR SETAR - Bedah siasat ke atas mayat bayi yang maut dipercayai didera bapanya di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa Mukim Padang Hang, dekat sini pada 10 Oktober lalu menemukan mangsa mati akibat hentakan objek tumpul di bahagian kepala.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pemeriksaan dilakukan pakar forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar ke atas mangsa berusia tiga bulan itu juga menemui kesan luka serta lebam di beberapa bahagian tubuhnya.
"Ada kecederaan pada bayi itu akibat daripada hentakan objek tumpul. Kita klasifikasi kes dibawah 302 Kanun Keseksaan dan sepatutnya reman habis esok.
"Kes ini kita akan rujuk pada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) seberapa segera. Kalau boleh tuduh, kita akan tuduh terus, kalau tidak kita akan sambung reman," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas perkembangan kes bayi yang ditemukan meninggal dunia atas katil di dalam sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa Mukim Padang Hang, dekat sini yang dipercayai didera bapa kandungnya.
Sebelum itu, Wan Hassan ditemui pada Majlis Ramah Mesra Media Kedah bersama Ketua Polis Kedah di Alor Setar.
Pada 11 Oktober, Sinar Harian melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai didera bapanya dan suspek ditahan di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, Alor Setar.
Lelaki berusia 28 tahun tersebut adalah suspek utama dan direman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober depan untuk membantu siasatan.