'Hanya UMNO bela rakyat, mampu cipta kestabilan politik'

Iklan
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA SELANGOR - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan beliau berada dalam UMNO kerana percaya semangat perjuangan parti itu untuk membela rakyat.

Beliau memberitahu, hanya UMNO dan komponennya BN mampu mencipta kestabilan dari segi politik mahu pun ekonomi untuk kepentingan rakyat.

Iklan
Iklan

"Saya berjanji akan cuba sebaik mungkin untuk membantu UMNO untuk kembali menjadi kerajaan yang stabil untuk Selangor dan negara ini," katanya pada ucapannya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di Dewan UMNO Bahagian Kuala Selangor pada Ahad.

Tengku Zafrul berkata, bagi ahli politik mungkin ada 'thrill' (keterujaan) apabila banyak perubahan berlaku dalam politik.

Iklan

"Tetapi bagi rakyat di luar sana, mereka hanya mahukan kerajaan yang stabil dan fokus dasar untuk rakyat bukan politik bagi diri sendiri," jelasnya.

Menurut beliau, PRU15 amat berbeza dengan PRU sebelum ini atas pelbagai faktor antaranya pengundi baru dan muda yang cukup ramai berbanding sebelum ini.

Iklan

Jelas beliau, faktor lain antaranya pilihan politik yang terlalu pelbagai berbanding BN lawan Pakatan Harapan (PH) seperti sebelum ini.

"Faktor ekonomi dunia yang tidak stabil memberi impak kepada ekonomi rakyat, sekali gus memberi impak kepada pilihan undi mereka.

"Berbeza tidak bermakna lebih sukar, atau lebih mudah, sebaliknya berbeza bermakna pendekatan kita juga perlu seiring dengan faktor-faktor ini.

"Cara tradisional yang berkesan kita teruskan, tetapi jika ada cara baharu yang bersesuaian kita guna pakai," ujarnya.

Tambah beliau, penggunaan 'big data', kempen media sosial, inti pati manifesto dan lain-lain lagi semuanya antara cara penting terutamanya untuk menarik sokongan pengundi baru.

"Kalau dilihat dari sudut positif, kebarangkalian itu juga bermakna kita mungkin menang secara mutlak di peringkat Persekutuan walaupun kini ada tiga, empat penjuru.

"Kebarangkalian itu juga bermakna, jika tepat strateginya, jika tepat ramuannya, jika kuat usahanya, tidak mustahil kerusi kita yang kini di pihak pembangkang dalam DUN Selangor, mungkin beralih ke pihak kerajaan dalam PRU akan datang," kata beliau.