LANGKAWI - Polemik politik wajar dihentikan oleh pihak tertentu kerana pembubaran Parlimen pada masa ini sangat tepat dalam usaha membina kerajaan yang stabil dan kukuh bagi menghadapi cabaran ekonomi yang dijangkakan berlaku tahun hadapan.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan dalam tempoh terdekat untuk mengembalikan kuasa rakyat memilih kerana kerajaan sedia ada hanyalah satu gabungan untuk menyelamatkan situasi semasa.
Beliau berkata, meskipun kerajaan ketika ini stabil namun bukan kerajaan yang mendapat mandat rakyat pada PRU14.
"Ini semua polemik politik, orang kata berpada-padalah. Kita kena jujur pada rakyat. Kita orang politik kena jujur pada rakyat, kena jujur pada sistem. Jadi kita buat pilihan raya, kita doakan. Banjir ini ketentuan Allah SWT.
Kita doa banyak-banyak supaya jangan terhalang orang nak mengundi, jangan berlaku banjir besar... kalau kita tangguh pula bulan dua, tiga (tahun hadapan) tak bermakna tak ada banjir. Jadi, kita ini kena percaya. Kita merancang, ALLAH sebaik-baik merancang," katanya.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengulas tentang PRU15 selepas menyampaikan peranti di bawah Program Perantisiswa Keluarga Malaysia di Kolej Vokasional di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, matlamat Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lepas itu bagi membina semula kerajaan yang kuat dan stabil untuk mewujudkan kemakmuran. - Bernama