37 mangsa banjir di Langkawi dipindahkan

Iklan
Anggota APM membuat pemantauan di Pasar Awam Padang Mat Sirat yang dinaiki air ketika tinjauan malam ini. - Foto Bernama
LANGKAWI - Seramai 37 orang daripada 10 keluarga dari Kampung Atas di Mukim Padang Mat Sirat di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Syifa, malam ini berikutan banjir akibat hujan sejak jam 4 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, PPS berkenaan dibuka lebih kurang jam 8 malam ini bagi menempatkan kesemua mangsa banjir itu.

"Air mula naik sehingga memasuki rumah penduduk kampung ini sekitar jam 6 petang tadi. Terdapat kawasan di beberapa mukim di daerah ini terjejas dengan banjir seperti Mukim Ayer Hangat dan Kuah namun setakat ini tiada PPS dibuka di mukim berkenaan berikutan air telah surut," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Shahfikri berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa paras air sungai utama serta memantau kawasan yang berpotensi untuk banjir.

Tinjauan pada malam ini mendapati air Sungai Melaka di sini mengalir deras dan melimpah ke rumah penduduk sekitar Kampung Atas serta Pasar Awam Padang Mat Sirat di Mukim Padang Mat Sirat.

Sementara itu, lapan rumah di Kampung Sungai Bongkok di Mukim Gurun, daerah Kuala Muda turut terjejas dengan banjir kira-kira jam 5 petang tadi berikutan hujan lebat selama tempoh melebihi tiga jam namun tiada PPS dibuka berikutan air telah pun surut. - Bernama