SHAH ALAM - Ceramah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam dalam kejadian di Muar pada Ahad.
Naib Presiden Muda, Mutalib Uthman berkata, ceramah pada mulanya tenang bertukar menjadi tegang apabila Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mula berucap.
"Kumpulan anak-anak muda yang memakai baju hitam sejak awal dah ada di kawasan pekarangan ceramah tapi tak bertindak apa-apa.
"Di tengah ucapan Syed Saddiq ada yang memulakan provokasi dengan melaungkan ‘penipu’ dan disusuli dengan cubaan untuk merusuh kawasan khemah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, cubaan mereka merempuh khemah gagal apabila dihalang oleh sekumpulan penyokong Muda dan polis yang membentuk penghalang daripada memasuki khemah.
"Kumpulan itu pulang dengan menaiki motosikal tapi masih melakukan provokasi dengan membuat bising menggunakan motor mereka di jalan berhadapan kawasan ceramah,” katanya.
Sementara itu, dua klip video tular masing-masing berdurasi 1 minit 31 saat dan 45 saat memperlihatkan sekumpulan lelaki bermotosikal yang menganggu ceramah Muda.
Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis.