Media sosial ‘kedai kopi’ buat anak muda

Iklan
Seiring dengan perkembangan semasa, media sosial adalah medan perang politik utama yang perlu diberikan perhatian. - Foto 123RF

JIKA zaman dahulu di kedai kopi lah berlakunya perbincangan, perdebatan dan perbahasan mengenai isu politik semasa.

Bagi pemimpin politik, kedai kopi adalah salah satu destinasi ‘wajib hadir’ untuk mereka tabur ‘janji manis’, edarkan flyers manifesto selain mewujudkan hubungan mesra dengan orang kampung.

Iklan
Iklan

Namun kini pemimpin perlu sedar bahawa seiring dengan perkembangan semasa, media sosial adalah medan perang politik utama yang perlu diberikan perhatian.

Anak muda tidak lagi perlu menunggu berjam-jam semata-mata mahu mendengar ceramah wakil rakyat atau manifesto di kawasan mereka.

Iklan

Sebaliknya, hanya di hujung jari, anak muda boleh habiskan masa 24 jam di media sosial untuk dapatkan info terkini mengenai parti politik meskipun tanpa sedar maklumat diperoleh daripada internet itu mungkin memberi pemahaman salah tentang sesuatu isu.

Bagaimanapun, soal benar atau salah, sahih atau palsu tidak menjadi perkiraan utama kebanyakan pengguna media sosial terutamanya anak muda yang masih mentah soal politik.

Iklan

Ini kerana, ahli politik yang lantang di media sosial, aktif membuat engagement atau mempunyai wajah yang ‘sedap mata memandang’ mempunyai peluang tinggi untuk menambat hati pengundi muda.

Maka, tidak hairanlah jika anak muda mula terpengaruh dan beralih arah kepada sesebuah parti itu.

Justeru, setiap parti perlu bijak dalam merangka strategi menarik pengundi baharu terutama daripada golongan Undi 18 yang akan menjadi kuasa penting dalam pilihan raya nanti.

Kata Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran, semua parti perlu melihat setiap pengundi baharu ini sebagai ‘raja’ dan akan menjadi penentu kemenangan.

"Dalam keadaan politik sekarang terutama jika kita melihat kepada analisis Pilihan Raya Umum (PRU)lalu, hampir 30 hingga 40 peratus adalah kerusi marginal di peringkat negeri dan Parlimen. Kalau begitu, setiap undi itu adalah undi baharu.

"Malah, saya melihat jika 5.8 juta orang pengundi baharu itu keluar mengundi pada PRU akan datang, jumlah pengundi itu sudah cukup untuk menentukan kerajaan baharu,” ujar beliau.

Menurutnya, untuk meyakinkan pengundi baharu mengundi sesuatu parti bukan tugas mudah apatah lagi mereka sudah bijak dan mampu untuk menilai apa jaminan terbaik yang mampu diberikan oleh kesemua parti yang bertanding.

Tinjauan Sinar Harian di lapangan mendapati rata-rata pengundi muda yang pertama kali akan mengundi ini masih tidak jelas siapa yang akan mereka pilih untuk menjadi pemimpin.

Ada yang peka tentang hal politik semasa, namun kebanyakannya mudah terpengaruh dengan propaganda pemimpin politik di media sosial.

Rasa teruja, gementar dan tidak pasti dalam memilih wakil rakyat dan kerajaan antara perasaan yang diluahkan anak muda di media sosial.

Meskipun begitu, penting untuk anak muda di negara ini mula mendapat pendedahan sepatutnya mengenai politik bagi meminimumkan kelompangan ilmu kepimpinan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, menurut Pelajar Tingkatan Enam, Muhammad Nazrul Ikmal Mohd Noor Haizee, golongan Undi 18 perlu ada ilmu berkaitan politik supaya dapat membimbing mereka memilih parti atau pemimpin yang tepat dan tidak mudah terikut dengan propaganda di laman media sosial sahaja.

"Saya bagaimanapun sangat bertuah kerana kebanyakan ahli keluarga berminat dalam politik dan terlibat secara langsung dengan parti terutama datuk dan ayah.

"Semua ini memberi kelebihan untuk saya memahami bidang politik dan membuat pilihan ketika mengundi nanti,” katanya.

Sementara seorang pekerja swasta, Ayuni Razali berpendapat bahawa anak muda lebih cenderung untuk memilih wakil yang lebih muda untuk memimpin dan lantang memperjuangkan isu-isu yang membimbangkan belia.

Antaranya ialah soal yuran pengajian, peluang pekerjaan, pembelian rumah pertama serta berharap agar kerajaan kembalikan baucar buku buat pelajar.

Nasihat penulis kepada anak muda yang pertama kali akan mengundi, gunalah peluang ini untuk membuat kajian serta menilai siapakah layak mengemudi negara.

Penulis berharap untuk masa akan datang, negara akan melahirkan lebih ramai generasi yang celik politik pada usia muda.

* Nik Nazihah Nik Ahmad Khan ialah Pencipta Kandungan Media Sosial Sinar Harian