SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) memperkenalkan Mobile Apps PKNS BizPoint kepada usahawan negeri ini bagi memperluaskan lagi capaian pelanggannya.
Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd. Jabar berkata, aplikasi itu menawarkan kemudahan tempahan bilik seminar, galeri PKNS BizPoint dan info berkaitan pakej sewaan pejabat selain mempromosikan program keusahawanan.
Menurutnya, aplikasi yang merupakan inovasi BPU itu secara tidak langsung membantu mempromosikan pelbagai program pembangunan keusahawanan PKNS dan boleh dimuat turun di Google Play Store.
"Aplikasi ini memudahkan pengguna mencari bangunan PKNS BizPoint dengan menekan butang sahaja, berbanding sebelum ini perlu membuat tempahan melalui telefon atau datang sendiri untuk berurusan.
"Kami yakin dengan pengenalan aplikasi ini nanti akan menarik minat lebih ramai golongan usahawan menggunakan kemudahan yang disediakan PKNS BizPoint kerana mudah dan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Mobile Apps PKNS BizPoint yang dirasmikan Exco Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail di PKNS BizPoint.
Siti Zubaidah berkata, BPU PKNS perlu bergerak lebih progresif seiring perubahan teknologi terkini dan revolusi industri 4.0, sekali gus memenuhi kehendak pasaran semasa dalam meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program keusahawanan.
"Dengan menyasarkan golongan usahawan Bumiputera yang baru memulakan perniagaan, pejabat maya yang dinamakan sebagai Pejabat VIO by PKNS ini adalah antara kemudahan lain disediakan PKNS BizPoint. Ia boleh disewa serendah RM150 sebulan.
"Ruang acara yang juga dikenali sebagai PKNS BizClub di tingkat bawah boleh memuatkan seramai 150 orang dalam satu masa dan sesuai untuk digunakan bagi sebarang penganjuran majlis serta acara sama ada jualan terbuka, ceramah, latihan dalam kumpulan dan sebagainya,” katanya.
"Ini akan membuka peluang kepada lebih ramai lagi peniaga untuk meningkatkan potensi perniagaan mereka dan berharap kemudahan canggih ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya seluruh usahawan Selangor,” katanya.
Rodziah yang juga Adun Batu Tiga berkata, PKNS sangat komited untuk bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan negeri bila mana turut menyediakan pelbagai platform untuk usahawan kecil melebarkan empayar serta memudahkan urusan perniagaan usahawan Selangor.
"Saya harap aplikasi ini dapat diperluaskan lagi bukan setakat di Selangor, tapi seluruh negara bagi membantu lebih ramai usahawan,” katanya.
Konsultan, Alida Abd Rahman melihat pengenalan aplikasi canggih itu adalah pendekatan terbaik untuk membuka minda usahawan Melayu memulakan perniagaan atau perusahaan tanpa modal yang besar.
"Pakej sewaan pejabat dengan kadar berpatutan juga boleh membantu usahawan baharu berjaya selain kursus yang disediakan dapat memantapkan lagi pencapaian mereka pada masa akan datang.
"Sebenarnya PKNS banyak bantu usahawan kecil dan bimbing mereka dengan pelbagai program berkaitan. Saya sendiri sebelum ini daripada tiada ada apa-apa akhirnya dapat lesen,” katanya.
Bagi Pengarah Urusan Amani Academy, Amin Abdullah, kemudahan yang disediakan PKNS banyak membantu usahawan kerana pendekatan program yang memberi bimbingan sehingga berjaya.
"Dulu, nak buat training untuk pengurusan perniagaan kena cari tempat dan tempat menjadi perkara yang penting. Bila PKNS perkenalkan aplikasi ini semua kerja jadi mudah.
"Sekarang ini boleh tempah atas talian dengan mudah dan tak perlu buat manual. Sewa yang dikenakan pun murah di PKNS BizPoint berbanding tempat lain,” katanya.
Manakala usahawan percetakan, Hilli Fahmi turut menyambut baik pendekatan PKNS memperkenalkan aplikasi Mobile PKNS BizPoint kepada semua usahawan.
"Saya sendiri adalah graduan di bawah program Retail 200 PKNS pada 2014 dan sehingga sekarang bersama PKNS untuk mengikuti program yang dilaksanakan.
"Tidak dinafikan PKNS banyak bantu dari segi latihan, komunikasi serta kursus yang berkaitan perniagaan. Aplikasi ini lebih memudahkan dan peserta hanya ikuti program atau latihan melalui aplikasi sahaja.
"Saya pun lebih gemar ikut program agensi kerajaan sebab ia membantu golongan Bumiputera. Saya galakkan usahawan lain supaya memuat turun aplikasi ini untuk mendapatkan maklumat,” katanya.