Siapa jadi sekutu siapa?

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menjadi pentas parti politik mempamerkan pengaruh bagi meyakinkan pengundi.

Masakan tidak, dalam tempoh lebih seminggu selepas Parlimen dibubar, kita dapat melihat polemik dan permainan sentimen berlaku mengenai isu kerjasama dan siapa yang menjadi sekutu siapa dalam PRU kali ini.

Iklan
Iklan

Pakatan Harapan (PH) bersetuju membentuk pakatan pilihan raya dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatankuasa yang dibentuk bagi meneliti kerjasama itu akan meneruskan perbincangan bagi memutuskan soal kerusi dan logo.

Iklan

Bagaimanapun di tengah-tengah kerancakan PH menyusun strateginya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa parti itu terbuka untuk mengadakan pakatan pilihan raya dengan mana-mana parti termasuk Gagasan Tanah Air (GTA) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau menegaskan, pintu kerjasama parti itu masih terbuka, selagi mana ia mempunyai agenda yang sama iaitu menentang rasuah dan salah guna kuasa dan bukan semata-mata untuk menumbangkan UMNO-BN.

Iklan

Kenyataan itu bagaimanapun segera dibidas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa Majlis Presiden PH sebelum ini sudah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu atau gabungan yang dipimpinnya disebabkan peranannya sebagai ‘pengkhianat’ dalam Langkah Sheraton.

Kata Guan Eng, kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden PH membatalkan keputusannya sebelum ini.

Perikatan Nasional (PN) pula mengesahkan tidak akan membentuk sebarang kerjasama dengan PH.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat kerana gabungan PN yang dianggotai Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) mempunyai perbezaan dengan PH.

Pada masa yang sama juga, Pas turut mengucapkan selamat tinggal kepada UMNO selepas parti itu mengesahkan tidak akan membentuk sebarang kerjasama pada PRU kali ini.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Pas menangguhkan kerjasama dengan BN kerana menyifatkan UMNO sebagai parti ‘yang keruh’.

Pada Jumaat, media melaporkan Abdul Hadi berkata, antara 'kekeruhan' yang dimaksudkan ialah masih terdapat kes melibatkan penerima rasuah yang belum selesai.

Malah Presiden Pas itu juga menganggap kerjasama yang dijalinkan antara partinya dengan UMNO sebagai ‘durian mentah’ yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.

Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa kerja parti itu memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN untuk menghadapi pilihan raya umum.

Hadi juga berkata, mereka akan memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi negeri dengan PN.