AKSI menakjubkan barisan muda Arsenal ketika membenam Leeds United 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad mendapat pujian pengendalinya, Mikel Arteta.
Biarpun menjadi 'pasukan kedua terbaik', namun mereka ampuh bertahan meskipun bertubi-tubi diasak pasukan tuan rumah.
Jaringan Bukayo Saka pada babak pertama memastikan kemenangan The Gunners untuk kekal di tangga teratas.
Leeds gagal menyempurnakan sepakan penalti dan sekali lagi dinafikan video bantuan pengadil (VAR) ketika Arsenal kekal mempertahankan kelebihan tipis itu.
Ia menyaksikan kekalahan pertama anak buah Jesse Marsch di gelanggang sendiri musim ini.
"Sibuk dan penat! Memang selalu tegang di sini.
"Kami cemerlang pada babak pertama dan sepatutnya berada dua atau tiga gol di depan.
"Kredit kepada Leeds pada babak kedua, kami banyak membuat silap dan tidak mengekalkan momentum," ujar Arteta kepada Sky Sports.
"Tetapi, saya suka melihat semangat juang tinggi dalam pasukan dan bagaimana kami mencari cara untuk menang.
"Ini sesuatu yang istimewa, ini bukan kebetulan, tetapi menunjukkan keinginan pemain untuk menang dan bersaing.
"Ramai pemain beraksi di Norway (menentang Bodo/Glimt pada aksi Liga Europa) lebih dua hari lalu, pulang ke sini pada Jumaat dan masih bersungguh-sungguh untuk menang," katanya.
Perlawanan itu ditangguhkan selama 38 minit kerana gangguan bekalan elektrik di Elland Road yang menyebabkan masalah kepada sistem komunikasi pengadil.
Insiden itu melegakan Arteta kerana VAR menafikan sepakan penalti buat Leeds.
Pada aksi itu, bek tengah Arsenal, Gabriel turut dibuang padang kerana menyepak penyerang Leeds, Patrick Bamford pada masa tambahan selepas penjaga garisan melihat insiden tersebut.
Bagaimanapun pengadil, Chris Kavanagh menarik balik sepakan penalti dan kad merah yang diberikan selepas melihat semula ulang tayang.
"Saya tidak melihat situasi itu, tetapi semua orang menyatakan keputusan itu adalah jelas," ujar Arteta.