KLANG - Sebuah pusat kitar semula musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Sungai Pinang 5/7, Taman Perindustrian Pulau Indah di sini pada pagi Isnin.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.04 pagi.
"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Balai Bomba dan Penyelamat Subang dan Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 7.18 pagi.
"Kebakaran melibatkan sebuah kilang plastik yang merupakan pusat kitar semula yang terletak di kawasan lapang berkeluasan 60x80 kaki persegi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, kerja-kerja pemadaman dijalankan anggota bomba bagi mengelakkan kebakaran merebak ke bangunan bersebelahan.
"Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kebakaran ini.
"Punca dan anggaran kerugian akibat kejadian masih dalam siasatan," katanya.
https://www.instagram.com/p/CjzM1xLrWef/?igshid=NmNmNjAwNzg=