KYIV - Sekurang-kurangnya 10 orang awam maut manakala 14 lagi cedera akibat serangan di beberapa wilayah di Ukraine, lapor Agensi Anadolu.
Timbalan Ketua Pejabat Presiden, Kyrylo Tymoshenko menerusi hantaran di Telegram pada Ahad mendakwa serangan Rusia menyasarkan wilayah Dnipro, Kharkiv, Zaporizhzhia, Donetsk dan Kherson.
Menurut Staf Am Ukraine, Rusia telah kehilangan 65,000 kakitangan, 2,529 kereta kebal dan 5,193 kenderaan perisai sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraan ke atas Kyiv pada 24 Februari.
Pada 21 September, Menteri Pertahanan Rusia, Sergey Shoygu mengumumkan 5,937 tentera Rusia maut akibat perang.
Sementara itu, Rusia mendakwa bahawa bangunan pentadbirannya di wilayah timur Donetsk diserang tentera Ukraine pagi Ahad.
Datuk Bandar Donetsk, Alexey Kulemzin menerusi hantaran di Telegram mendakwa tentera Ukraine melancarkan tiga peluru berpandu HIMARS (Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi) di wilayah itu.
Seramai dua orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu. - Bernama