Pendakwaan bantah permohonan Bung Moktar, isteri

Iklan
Pasukan pendakwaan akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan semakan berhubung kes rasuah membabitkan Bung Moktar dan isterinya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan semakan berhubung kes rasuah membabitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, semakan tidak harus dibuat melalui notis usul kerana ia secara tidak langsung menghilangkan kuasa budi bicara mahkamah.

Iklan
Iklan

"Kami membangkitkan bantahan awal mengenai cara semakan, ia tidak sepatutnya dilakukan secara notis usul.

"Semakan sepatutnya didengar atas budi bicara mahkamah, bukannya secara permohonan notis usul, kaedah itu salah dan tidak diketahui oleh undang-undang,” katanya pada prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid pada Isnin.

Iklan

Chin How berkata, kaedah pemfailan notis usul itu juga dibuat bertentangan dengan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964 yang dibaca bersama Seksyen 325 serta 326 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Menurut beliau, memfailkan permohonan itu pada ketika ini menyebabkan mahkamah tidak mempunyai pilihan selain mendengar merit perkara itu.

Iklan

Sementara itu, peguam, M Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menyemak keputusan di bawah Seksyen 31 dan 35 CJA 1964.

"Ada tiga cara untuk membuat semakan mahkamah terdahulu iaitu pertama, budi bicara dengan mahkamah boleh memanggil dan memeriksa rekod prosiding untuk disemak.

"Kedua pihak yang terkilan atau terkesan seperti tertuduh dan timbalan pendakwa raya serta ketiga ialah pihak lain berkepentingan seperti mangsa.

Mendengar perkara itu, Azhar menetapkan 11 November depan untuk mendengar permohonan tersebut.

Hadir sama dalam prosiding itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah dan peguam, Datuk K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette.

Prosiding pada Isnin ditetapkan untuk permohonan semakan keputusan rasuah Zizie Izette, didengar bersama permohonan dibuat suaminya di hadapan hakim yang sama.

Ketika prosiding, Azhar membenarkan kedua-dua permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette didengar bersama.

Pada 23 September lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, untuk menangguhkan prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen, selepas mereka memfailkan notis usul untuk menyemak dan mengetepikan keputusan yang dibuat.

Pada 2 September lalu, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya, diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar bawah nama Zizie Izette, manakala isterinya itu berdepan tiga pertuduhan dakwaan bersubahat dengan suaminya.