PENYERANG Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe terkejut apabila dikaitkan spekulasi dia mahu bertukar angin beraksi dalam kancah La Liga untuk menyertai Real Madrid Januari depan.
Pemain antarabangsa Perancis itu pantas menafikan khabar angin tersebut sebaliknya mahu terus kekal beraksi di Paris.
Iklan
Iklan
"Saya tidak pernah meminta untuk berpindah pada Januari depan,” katanya kepada media selepas PSG menang 1-0 ke atas Olympique de Marseille pada aksi Ligue 1 pada Ahad.
Mbappe juga mengakui tidak memahami bagaimana desas-desus itu muncul pada hari perlawanan Liga Juara-Juara PSG menentang Benfica baru-baru ini.
Beberapa media Perancis sebelum ini melaporkan penyerang itu bosan dengan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi yang gagal memenuhi janjinya dan mahu meninggalkan kelab secepat mungkin.
"Sama seperti orang lain, saya sangat terkejut dengan berita ini. Orang menyangka saya terbabit, tetapi sebenarnya tidak,” ujar Mbappe.
Penyerang berusia 23 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke juara La Liga, Real pada hujung musim dan dijangka meninggalkan PSG selepas lima tahun.