'Taktik BN tarik wakil rakyat lompat parti'

Iklan
Kor Ming (kiri) menunjukkan buku Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak yang baharu pada sidang media di Wisma DAP Perak di Ipoh.

IPOH - Kegagalan kerajaan Perak mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi membentang dan meluluskan Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan peruntukan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bakal mewujudkan lagi episod 'katak politik' di negeri itu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, tindakan memohon pembubaran DUN tanpa meluluskan undang-undang itu dilihat sebagai taktik BN menarik wakil rakyat untuk lompat parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia membuktikan bahawa BN Perak tidak yakin untuk memperoleh majoriti mudah iaitu memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN kali ini.

"Saya sudah dua kali utuskan surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyarankan satu sidang khas diadakan bagi meluluskan undang-undang anti lompat parti.

Iklan

"Pada awalnya kerajaan negeri sudah bersetuju dan saya menerima mesej bahawa sidang DUN telah ditetapkan pada 20 September lalu. Tetapi, seperti yang saya jangka sidang DUN tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Ini sangat jelas niat bubarkan DUN tanpa meluluskan pindaan berkenaan menunjukkan BN tidak mempunyai keyakinan untuk menang kali ini dan merancang untuk beli 'katak' lain apabila keadaan 'hang assembly' wujud selepas PRU15," katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini pada Isnin.

Iklan
Barisan kepimpinan DAP Perak yakin PH akan memenangi PRU15.

Tambah Kor Ming, alasan yang diberikan Saarani kononnya kesempitan waktu untuk mengadakan sidang DUN khas berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis merupakan satu pembohongan.

"Saya terima buku Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri yang baharu sebelum DUN dibubarkan, saya sempat baca di bawah Perkara 10(1), menteri besar ada kuasa membuat sidang tergempar dalam masa 24 jam.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong menggesa pengundi untuk keluar ramai-ramai pada PRU15 bagi 'menghukum' BN yang disifatkan sebagai tidak menghormati sistem demokrasi dan mandat rakyat.

"Perak adalah mangsa terbesar dalam kes pengkhianatan 'katak' politik sejak tahun 2009 malah, penggal lalu menyaksikan pertukaran tiga menteri besar kerana wakil rakyat lompat parti.

"Gunakan peluang ini (PRU15) pastikan BN kalah kecuali sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti kukuh maka, kita akan membela kestabilan politik negeri serta rakyat," katanya.