KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) disifatkan ketandusan calon untuk diangkat sebagai Perdana Menteri apabila cuba mengalih isu dengan membuat dakwaan tidak benar mengenai calon Perdana Menteri ke-10 jika BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, dakwaan itu menunjukkan pembangkang tiada modal untuk menyerang UMNO, malah serangan dilakukan hanyalah berdasarkan persepsi.
"PH dan PN sering mengatakan UMNO akan mencalonkan presiden parti sebagai Perdana Menteri ke-10 apabila menang PRU15 sedangkan ia adalah fitnah.
"Presiden UMNO sendiri menyokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon PM daripada UMNO dan ia telah diputuskan MKT UMNO. Keputusan itu adalah secara kolektif iaitu melibatkan suara akar umbi bahagian dan cawangan.
"Inilah keistimewaan UMNO. Bukan seperti PN dan PH yang ketandusan calon PM," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya BN kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.
Beliau memberitahu, perkara itu diputuskan dalam persidangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu, pada Sabtu.
"Persidangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu membuat ketetapan bersetuju dengan keputusan MKT serta sokongan Presiden UMNO bagi menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM bagi meneruskan agenda membela rakyat.
"Pada masa yang sama, kami juga memberi kepercayaan penuh kepada Top 5 UMNO untuk berbincang dan memutuskan strategi bagi memenangi PRU15," ujar beliau.
Selain itu katanya, UMNO Bahagian Kuala Terengganu sentiasa menyokong segala usaha pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad berkata, UMNO kekal menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.
Bekas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara itu tidak boleh dipertikaikan lagi malah tidak timbul isu seperti dakwaan pembangkang bahawa beliau akan dilantik ke jawatan tersebut jika BN kembali mentadbir negara.
Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan melangkaui kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan Perdana Menteri.