SHAH ALAM – Isu tempat tinggal melibatkan lebih 17,000 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah selesai apabila kesemua mereka ditempatkan di Inapan Siswa (Inasis) masing-masing iaitu sebelum kuliah bermula pada minggu ini.
UUM dalam satu kenyataan berkata, urusan penginapan pelajar lama iaitu semester kedua dan berikutnya dibuat sebaik sahaja pendaftaran serta penempatan pelajar baharu semester pertama sesi 2022/2023 berjumlah 4,106 orang selesai di Inasis yang ditetapkan pada 11 Oktober lalu.
Iklan
Iklan
"Dengan memberi penempatan kepada kesemua pelajar termasuk yang kini berada di semester kelapan dan berikutnya, jelas menunjukkan UUM amat prihatin dan cakna dengan kebajikan serta keselamatan pelajar universiti ini,” katanya pada Isnin.
Sebelum ini, terdapat pihak yang mendakwa terdapat kira-kira 1,000 pelajar UUM tidak mendapat penginapan bagi memulakan sesi pengajian mereka.
Tambah UUM, pihaknya juga telah menyediakan penempatan kepada 500 pelajar rayuan yang akan mula mendaftar pada 1 November ini.
"Secara keseluruhannya, kesemua pelajar yang memohon penginapan iaitu seramai 17,708 orang telah memperoleh tempat penginapan di UUM.
"Pengurusan universiti sentiasa memastikan keperluan pelajar dapat dipenuhi dan mereka dapat belajar dalam suasana yang kondusif,” ujarnya.