PELUMBA Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh tampil menjelaskan situasi yang berlaku selepas penyertaannya dibatalkan pada Peringkat 5 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Kuala Kangsar, Perak ke Kulim, Kedah Sabtu lalu.
Malah, Harrif mengakui dia berasa sedih apabila tidak dapat meneruskan perjuangan bersama rakan-rakan sepasukannya yang sebelum itu kehilangan khidmat kapten, Youcef Reguigui yang mengalami kemalangan pada Peringkat 4 di Ipoh, Perak.
"Sebenarnya saya bukan pegang (berpaut pada) van. Ceritanya hanya disebabkan sticky bottle sahaja. Ketika itu satu kilometer (km) nak sampai KOM (zon pendakian di Sumpitan) dan saya cuba pergi ke depan kenderaan untuk ambil air botol minuman.
"Saya bukan pegang (van) dari bawah sampai ke atas (bukit). Tapi selepas itu mungkin ada pasukan (luar) yang membuat complaint (bantahan). Tambahan pula, sekarang komisar agak tegas, jadi itu menjadi penyebab penyertaan saya dibatalkan.
"Saya akui ada juga buat silap, tapi tak sangka sampai kena disqualified daripada perlumbaan. Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat meneruskan misi mereka di Langkawi," katanya kepada pemberita pada Isnin.
'Misteri' ketiadaan Harrif atau mesra disapa Mamat pada Peringkat 6 dari George Town, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah pada Ahad mencetuskan tanda tanya khususnya dalam kalangan peminat sukan berbasikal tempatan yang ternanti-nanti kelibatnya sejak awal perlumbaan.
Apa tidaknya, Harrif dianggap antara pakar pecut yang dilihat berpotensi mampu mencipta kejutan untuk menawan Alor Setar selepas dia terlepas peluang menjejakkan kaki di podium pada Peringkat 4 dari Sabak Bernam, Selangor ke Meru Raya, Ipoh.
"Saya memang sedih sebab kami nak buat sesuatu (memburu kemenangan) di Alor Setar. apatah lagi peminat-peminat setia masih tunggu saya (di Alor Setar) walaupun saya kalah tapi nak buat macam mana, benda dah jadi," ujar Harrif.
Untuk rekod, Harrif mencipta sensasi apabila memenangi Peringkat 5 LTdL 2020 dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Ipoh, sekali gus mengulangi kejayaannya menaiki podium utama ketika memenangi Peringkat 2 LTdL 2019 dari Senawang, Negeri Sembilan ke Melaka.
Kini berbaki satu peringkat LTdL 2022, TSG masih memegang dua jersi utama iaitu Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) menerusi Jambaljamts Sainbayar manakala Jersi Merah (Raja Bukit) pula disarung Muhammad Nur Aiman Mohd Zhariff.