Kon Yeow sifatkan kenyataan UMNO Pulau Pinang sombong

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan kenyataan UMNO yang menyelar kerajaan negeri itu kerana tidak melaksanakan pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan alasan banjir disifatkan sebagai sombong.

Kon Yeow berkata, kenyataan itu juga membuktikan UMNO dan BN Pulau Pinang tidak sensitif dengan sebarang kemungkinan yang akan dihadapi oleh rakyat.

Iklan
Iklan

"Itu adalah kenyataan sombong dan tidak sensitif dengan sebarang kemungkinan yang akan dihadapi rakyat, contohnya musibah banjir," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir membidas kerajaan negeri yang didakwanya menggunakan musim banjir sebagai alasan untuk tidak melaksanakan pilihan raya peringkat DUN serentak dengan PRU15.

Iklan

Musa yang juga Pengerusi UMNO Pulau Pinang turut mencabar Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Pulau Pinang untuk tidak meletakkan calon di kerusi Parlimen pada PRU kali ini, jika mereka benar-benar serius dengan keselamatan rakyat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pertarungan untuk kerusi Parlimen itu adalah satu hakikat dan kerajaan negeri akan memfokuskan kerusi-kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Iklan

"Kita akan bekerja bersungguh-sungguh. Mengenai kenyataan UMNO kononnya kita memberi alasan untuk fokus kepada banjir, kita tunggu dan lihat lah, sama ada banjir akan berlaku atau tidak.

"Sekarang pun dah jadi (banjir) di beberapa kawasan dan orang yang sama akan kritik kerajaan negeri jika berlaku banjir," katanya.

Mengulas mengenai persidangan DUN Pulau Pinang yang akan dijadualkan pada November ini, Kon Yeow berkata, perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Exco Pulau Pinang pada Rabu ini.

"Saya akan mencadangkan dalam Mesyuarat Exco pada Rabu ini iaitu persidangan DUN Pulau Pinang akan tetap dilaksanakan pada 4 November ini. Bagaimanapun, ia hanya melibatkan sesi soal jawab dan selebihnya seperti pembentangan bajet akan dibuat kemudian.

"Persidangan akan ditangguhkan sehingga hari pembuangan undi dan untuk itu, ia tertakluk kepada tarikh (pembuangan undi) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tarikh akan ditetapkan mengikut keputusan SPR.

"Ia bagi membolehkan petugas daripada agensi kerajaan yang terlibat dalam persiapan PRU memberi fokus kepada kerja-kerja mereka dan tidak terganggu dengan penugasan lain," katanya.