MUAR - Polis Daerah Muar mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden kekecohan yang berlaku pada Ceramah Mega Muar yang dianjurkan oleh parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Parit Jawa pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, tiada pihak yang tampil bagi membuat laporan polis sama ada pihak penganjur ataupun Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa telah diganggu sekumpulan lelaki berpakaian hitam yang menaiki motosikal ketika memberikan ceramah.
"Memang tiada tangkapan...report (laporan) pun tiada setakat ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, Ceramah Mega Muar anjuran Muda terganggu dengan insiden provokasi daripada sekumpulan 'mat motor' yang tidak dikenali.
Insiden provokasi berkenaan yang turut tular di media sosial itu turut memaparkan kumpulan berkenaan mencemuh Presiden Muda yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai 'penipu.'
Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan dan ceramah berkenaan dapat disambung tanpa berlaku perkara yang tidak diingini.
Sementara itu, Raiz Mukhliz berkata, polis berharap agar semua pihak terutamanya kepada parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti sentiasa patuh kepada undang-undang dan syarat-syarat yang dikeluarkan oleh pihak polis.
"Kita (polis) sangat berharap mereka dapat mematuhi segala undang-undang dan syarat yang telah ditetapkan," katanya.