PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan lapan barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pelaksanaan skim itu berkuat kuasa selama tujuh hari bermula Khamis ini.
"Barangan tersebut merangkumi daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Pada masa yang sama, beliau berkata, ayam dan telur ayam telah disambung pewartaannya sebagai barangan harga terkawal dan sedang berkuat kuasa sejak 12 Oktober lalu.
"Semakan harga boleh dibuat melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di https://www.kpdnhep.gov.my," katanya.
Beliau berkata, tempoh pelaksanaan skim itu bersesuaian mengikut keadaan semasa pada masa kini iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
"Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga berpuas hati dengan tempoh masa pelaksanaan yang efektif," katanya.
Azman berkata, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
"Pengumuman harga yang ditentukan akan dibuat kepada orang ramai melalui media massa, pengedaran risalah serta pemasangan gegantung dan poster di tempat-tempat strategik seperti di pasar awam, pasar raya dan pasar raya besar," katanya.