KUALA LUMPUR - Seramai 7,700 pegawai dan anggota polis akan terbabit secara aktif dalam mengawasi penamaan calon, proses berkempen dan di pusat pengundian di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua pegawai dan anggota tersebut melibatkan pelbagai jabatan dan bahagian peringkat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
"Kesemua pegawai dan anggota polis yang terlibat itu adalah membabitkan Kuala Lumpur dan Putrajaya, mereka juga akan dibantu seramai 1,000 lagi pegawai dan anggota polis yang pada masa sama turut melaksanakan tugas hakiki lain seperti menjaga balai dan penugasan inkuiri.
"Kita sudah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa terdapat 288 pusat daerah mengundi (PDM) di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kita sentiasa bersiap siaga mengawasi semua PDM ini," katanya padasidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam perkembangan berasingan, Azmi turut mengingatkan semua ahli politik dan masyarakat di sekitar Kuala Lumpur untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh SPR.
"Kita tahu masing-masing (ahli politik dan penyokong) mempunyai perancangan dalam berkempen, namun apa jua yang nak dibuat harus mematuhi undang-undang," katanya.
Azmi berkata, selain tumpuan penugasan PRU15, pasukan sama juga akan berada dalam keadaan siap sedia membantu agensi kerajaan lain yang dalam menghadapi sebarang kemungkinan kejadian bencana seperti banjir dan hujan lebat.
"Dalam berhadapan kejadian bencana seperti banjir kilat, pokok tumbang serta kejadian kecemasan lain, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.