PETALING JAYA - Tiga lelaki warga Afrika diberkas dipercayai menipu seorang wanita melibatkan kerugian lebih RM1 juta sejak April lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang berumur 54 tahun itu mula berkenalan dengan suspek yang merupakan lelaki warga asing menerusi media sosial Facebook pada April.
"Perkenalan antara mangsa dengan suspek kemudian berterusan melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.
"Sepanjang tempoh perkenalan tersebut, mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek, suspek menyatakan kepada mangsa bahawa suspek bekerja sebagai jurutera di New Zealand," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, suspek meminta mangsa untuk mendahulukan wangnya bagi membeli bahan mentah bagi projek yang didakwa dijalankannya pada April sehingga Oktober.
"Mangsa yang percaya dengan suspek kemudian telah memasukkan wang ke dalam empat akaun berbeza yang melibatkan 37 transaksi berjumlah RM1,445,900.
"Mangsa kemudian menerima panggilan daripada satu pihak yang mendakwa sebagai syarikat penghantaran menyatakan terdapat barang yang dikirim suspek kepada mangsa," katanya.
Menurutnya, pada 8 September lalu, dua lelaki telah menemui mangsa dengan mendakwa membawa beg berisi wang sebanyak USD4,200,000.
"Mangsa diberi syarat perlu memiliki pengesahan sah untuk menerima wang tersebut, jika tidak mangsa perlu membayar yuran simpanan sebanyak RM170,000.
"Mangsa yang sedar dirinya telah ditipu telah menolak syarat tersebut, dalam masa sama suspek yang dikenali menerusi Facebook itu meminta mangsa wang tambahan lagi kononnya untuk membiayai projek yang diusahakan sebelum ini," katanya.
Ujar Mohamad Fakhrudin, siasatan yang dijalankan berkaitan kes tersebut kemudian membawa kepada penangkapan tiga lelaki warga asing di sebuah restoran di Kuala Lumpur.
"Soal siasat dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek mula datang ke Malaysia sejak 2019, menggunakan kad UNHCR dan tidak bekerja.
"Kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.