LANGKAWI - Seorang pendaki warga Korea yang cedera kerana terjatuh di puncak Air Terjun Telaga Tujuh, Gunung Mat Chinchang di sini berjaya diselamatkan anggota bomba pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, lelaki berusia 52 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian 'spinal' dan 'cervical'.
Iklan
Iklan
Katanya, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada MERS kira-kira jam 1 petang berkaitan kejadian berkenaan.
"Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi diarahkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, jarak daripada kaki Gunung Mat Chinchang ke puncak dianggarkan 90 meter dan mengambil masa selama satu jam untuk naik ke atas.
"Sebaik tiba di lokasi, pasukan EMRS telah memberi rawatan awal kepada mangsa dan membawa turun ke tempat selamat pada jam 2.54 petang menggunakan stretcher.
"Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk rawatan lanjut," katanya.