IPOH - Seorang wanita maut manakala suami dan cucunya terselamat setelah motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah treler di Jalan Chepor di sini pada Isnin.
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, difahamkan pasangan terbabit menghantar cucu perempuan mereka berusia sembilan tahun ke sekolah namun, terpaksa berpatah balik setelah mendapati tiada sesi persekolahan dijalankan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, penunggang motosikal berusia 59 tahun dan cucunya terselamat dan mengalami kecederaan ringan.
"Siasatan awal mendapati motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dari arah Meru Raya ke Chemor dipercayai telah hilang kawalan lalu bergesel dengan tayar belakang treler.
"Akibatnya, kesemua mangsa terjatuh menyebabkan pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Koo Boon Kuat di talian 016-4173222 bagi membantu siasatan.