SUNGAI PETANI - Kain kapan individu mati dibunuh, hati burung dan tanah kubur, antara syarat karut dikenakan bomoh bagi mengubati seorang pesakit kanser.
Che Intan Mat Zain, 60, dari Kuala Nerang berkata, ketika itu fikirannya kusut memikirkan permintaan mengarut bomoh di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang diperkenalkan rakan itu namun disebabkan mahu sembuh dari sakit serta takut untuk ke hospital, semua itu seboleh mungkin mahu ditunaikan.
"Antara yang diminta ialah kain kapan orang mati dibunuh pada hari Selasa, hati burung yang mati bercinta dan tanah kubur disuruh ambil dan letak semula selepas rawatan.
"Masa tu rasa sakit pada kaki, nak angkat pun tak larat, kalau barang yang diminta tak dapat cari macam kain kapan... bagi duit, bomoh pergi cari.
"Bomoh tu minta macam-macam sampai habis puluhan ribu ringgit," katanya ketika ditemui hadir ke Program Pink October-High Tea, di sini sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia pada Sabtu.
Menurut Che Intan, pengalaman yang dilalui pada 2009 hingga 2011 itu menyebabkannya hilang harta hasil titik peluh selama ini termasuk menjual rumah bagi menampung rawatan dan kini terpaksa menumpang di rumah ibunya setelah tiada tempat tinggal namun sakitnya dilihat semakin teruk.
Antara kesannya penglihatan semakin kabur, kurang pendengaran dan kedudukan mulut semakin berubah.
"Disebabkan tidak tahan, saya akhirnya dirujuk ke hospital sebelum disahkan menghidap kanser otak," katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana sempat menjalani rawatan di hospital membuatkannya semakin sihat.
Sepanjang menerima rawatan, dia pernah melakukan pembedahan membuang tumor di sebelah kiri, melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Pengimejan Resonans Magnetic (MRI) seperti saranan doktor.
"Saya beruntung kerana sempat diselamatkan dan tidak terus terpedaya dengan muslihat bomoh, saya meminta pesakit kanser yang lain jangan mudah terpengaruh serta terus berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat pakar,"katanya.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, peranan CSM ialah agar terus memberi sokongan dan bimbingan kepada pesakit kanser agar ikut proses rawatan yang betul.
"Kita nak ajar mereka untuk tidak mempercayai mitos dan kehadiran kumpulan sokongan seperti CSM sangat penting kerana setelah pesakit selesai rawatan mereka diminta beri sokongan kepada rakan senasib.
"Kita minta masyarakat jangan beri nasihat yang salah kepada pesakit kanser tetapi suruh buat rawatan yang betul berjumpa pakar di hospital,"katanya.
Jelasnya, CSM adalah sebuah kumpulan sokongan yang aktif kepada lebih 30,000 pesakit berdaftar seluruh negara, boleh dirujuk sekiranya berdepan masalah atau memerlukan sokongan.
"Kita bukan sahaja memberi sokongan moral malah terdapat bantuan dari pelbagai bentuk juga telah disampaikan kepada pesakit khususnya dari kalangan luar bandar dan B40," katanya.