KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis mengatakan kerajaan BN bertindak kejam kerana terlebih membayar dividen kepada pencarum Tabung Haji (TH) untuk empat tahun berturut-turut.
Menurutnya, PH mendakwa disebabkan membayar dividen berjumlah RM12.652 bilion bermula 2014 hingga 2017, ia menyebabkan TH kekurangan RM4.1 bilion pada akhir tahun lepas.
"Tiada dakwaan bahawa wang TH sudah dirompak ataupun diselewengkan tetapi TH di bawah kerajaan BN telah melakukan tindakan yang kejam iaitu untuk terlebih bayar dividen kepada pencarum-pencarum TH untuk empat tahun berturut-turut sejak tahun 2014.
"Saya amat hairan mengapa audit luar dan audit kerajaan tidak pernah menimbulkan isu ini untuk empat tahun berturut-turut,” katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.
Tambah beliau, masalah utama TH adalah penurunan teruk nilai pelaburan mereka untuk tahun ini akibat kejatuhan Bursa Malaysia selepas PRU14.
"Oleh itu, dividen TH untuk tahun in akan jauh lebih rendah berbanding tahun lepas dan cara yang paling sesuai untuk kerajaan PH ialah untuk menyalahkan kerajaan BN terdahulu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji kurang RM4 bilion wang pendeposit?]
[ARTIKEL BERKAITAN: Dividen Tabung Haji dijangka rendah dari tahun lepas?]
"Mereka yang fasih tentang audit dan penilaian aset sudah tentu memahami bahawa ini bukanlah satu langkah yang baik. Adalah amat mudah untuk sesuatu aset dinilai rendah apatah lagi pada ketika pengurusan baru TH bersetuju dengannya.
"Bukan sukar untuk menilai sesuatu aset lima peratus lebih rendah ketika proses audit. Aset TH hari ini ialah RM73 bilion maka jika dinilai lima peratus lebih rendah sudah RM4 bilion,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau tidak terharu dengan pegumuman kerajaan PH mendakwa cara penyelesaian utama untuk TH mengatasi defisit adalah dengan menjual aset dimiliki TH.
Malah, PH umumkan aset berkenaan akan dijual kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) pada nilai semasa yang sudah rendah selepas kejatuhan teruk Bursa Malaysia.
"Secara tipikalnya, apabila SPV ambil alih aset-aset itu, mereka bebas untuk mencairkan atau menjual aset berkenaan. Saya harap akan ada pemantauan dibuat.
"Ia agar penjualan aset sedemikian dibuat dengan betul dan tiada mana-mana pihak tertentu mendapat manfaat daripadanya ekoran hubungan politik.
"Biarpun jika ada terlebih penilaian terhadap aset TH dan wujud kekurangan, tiada keperluan mendesak untuk SPV mengambil alih aset TH kerana kerajaan menjamin wang pendeposit,” ujarnya.
Jelasnya, aset-aset tersebut boleh ditinggalkah di TH sementara menunggu nilai aset pulih.
"Satu lagi cara mudah untuk kerajaan ialah menyuntik aset sama ada melalui tunai atau bukan tunai yang sama nilai dengan kekurangan yang didakwa itu.
"Apabila nilai aset itu pulih, TH boleh membayar semula kepada kerajaan,” katanya.