SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidas tindakan pembangkang yang menyerang dan memainkan polemik berkaitan bakal calon Perdana Menteri daripada UMNO dan BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, ketetapan untuk menjadikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri UMNO dan BN sekiranya gabungan itu memenangi PRU15 sudah selesai diputuskan sejak April lalu.
Menurutnya, isu bakal calon Perdana Menteri yang dimainkan itu menunjukkan bahawa pembangkang ketiadaan isu untuk diketengahkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
"Isu calon Perdana Menteri BN ataupun calon PM UMNO ini satu isu menunjukkan lawan parti, PN atau PH tiada isu lain.
"Dia bukan sibuk nak promosikan calon PM sendiri tapi sibuk nak serang,” katanya menerusi satu video pendek yang dikongsikan di Facebooknya pada Isnin.
Pada 14 April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon perdana menteri pada PRU15.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad memaklumkan UMNO tidak berganjak dengan keputusan mencalonkan Ismail Sabri yang juga Naib Presidennya sebagai calon Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.
Ahmad Zahid berkata, keputusan yang dibuat itu tidak boleh dipertikaikan lagi.
Shahril berkata, pembangkang harus melihat kepada diri sendiri sebelum cuba memberikan gambaran bahawa Ahmad Zahid bakal menipu Ismail Sabri untuk membolehkan bekas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi Perdana Menteri.
"Tapi sedangkan yang menipu sesama pemimpin ini adalah PH termasuk PN dulu yang zaman dia masuk PH selepas PRU14. Kita dah dengar drama kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad akan bagi pada Datuk Seri Anwar. Alih-alih tak bagi.
"Drama menipu dua orang inilah yang menyebabkan PH sendiri retak dan jatuh dengan sendirinya dan dia tarik sekali negara dan rakyat ke kancah ketidakstabilan yang kekal sampai hari ini.
"Jadi yang menipu ini dua orang ini. Tidak ada kena mengena dengan BN. Insya-ALLAH BN kami tidak tipu,” ujarnya.