MARAN - [DIKEMAS KINI] Perjalanan tiga beranak pulang ke rumah bertukar tragedi selepas salah seorang mereka maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di jalan besar Jengka 19 di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kejadian kira-kira 8.50 malam itu melibatkan kereta jenis Perodua Bezza, Proton Persona, Proton Saga dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
Menurutnya, mangsa yang maut adalah penumpang hadapan Perodua Bezza, Hasnah Aziz, 68, dari Felda Jengka 23, manakala pemandu kereta iaitu suami mangsa yang berusia 72 tahun patah kaki kanan dan anak perempuan berusia 39 tahun cedera di bahagian leher.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan itu berlaku selepas kereta dinaiki mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan lalu melanggar bahagian belakang Mitsubishi Triton Triton dan Proton Persona dari arah bertentangan.
Norzamri Abd Rahman berkata, pemandu Proton Persona iaitu lelaki berusia 34 tahun pula patah kaki dan penumpangnya lelaki berusia 55 tahun cedera di kaki dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk menerima rawatan selanjutnya.
Katanya, pemandu Mitsubishi Triton yang juga lelaki berusia 33 tahun dan pemandu Proton Saga yang merupakan seorang wanita berusia 41 tahun bersama penumpang seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun tidak mengalami cedera.
"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.