JUARA Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Liga Premier dan Liga Super, umum sudah diketahui pemiliknya dalam kalangan jemaah pencinta bola sepak negara.
Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kelab feedernya, JDT II membuktikan dominasi kejuaraan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 apabila mendakap trofi Liga Super dan Liga Premier dengan catatan sejarah tersendiri masing-masing.
Kini tumpuan kepada kejuaraan Piala Malaysia 2022, trofi yang dilabel Raja Bola Sepak Malaysia, juga satu lagi slot ke saingan Piala Konferensi Bola Sepak Asia (AFC) 2023.
Kuala Lumpur City (KL City) juara bertahan akan menyingkap tirai mempertahankan kejuaraan berdepan kelab Liga Premier, PDRM FC, manakala finalis musim lalu JDT, berdepan kelab liat, Petaling Jaya (PJ City).
Di kertas, anak buah Bojan Hodak yang bakal berdepan kelab Oman, Al Seed dalam perlawanan akhir Piala AFC, 22 Oktober ini dijangka berdepan laluan sengit mengekalkan status kejuaraan di kabinet The City Boys buat musim kedua.
Tiada yang mustahil sekiranya aura hatrik Kuala Lumpur era mendiang Chow Kwai Lam kembali meresapi jiwa anak buah Hodak dalam mengembalikan semula kegemilangan ‘Kuala Lumpur sampai mati’ serta elemen semangat kisah dongeng kembara Piala AFC 2022 menjadi panji semangat skuad warga kota yang tidak pernah padam.
Berbalik semula kepada tumpuan para jemaah komuniti bola sepak yang lebih berfokus kepada perjalanan anak buah Hector Bidoglio dalam merealisasikan empat kejuaraan dalam satu musim.
Selepas dikecewakan KL City pada musim lalu, tentu sahaja Bidoglio mahu memastikan tahun pertama mengendalikan operasi Harimau Selatan berakhir dengan keputusan positif, setidak-tidaknya trofi ketiga selepas Piala FA dan trofi Liga Super, juga tonik sebelum menyingkap cabaran Liga Juara-Juara Asia 2023 selepas ini.
Biarpun begitu, keramat menjulang trofi keagungan bola sepak setiap musim menyajikan skrip sama dengan pelbagai aneka kejutan sepanjang fasa saingan, ditambah saingan musim ini cukup lain daripada yang lain bermula dengan peringkat timbal balik kalah mati 16 terbaik, suku akhir dan separuh akhir berbanding format kumpulan sebelum ini.
Misi menjulang kejuaraan tertua bola sepak Asia Tenggara ini juga tidak terkecuali menyertakan pasukan sensasi juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor.
Sama ada KL City atau Selangor FC mampu menyekat kemaraan JDT di perlawanan akhir edisi 2022 ini hanya akan terjawab apabila edisi 101 menyingkap tirai 25 dan 26 Oktober ini.